Kenapa Kuih Keria Gula Melaka Ada Lapisan Gula Yang Rangup?

Pernah tak anda tertanya-tanya. Mengapa lapisan gula pada Kuih Keria Gula Melaka boleh menjadi begitu rangup dan berkilat?

Dalam artikel ini, akan membincangkan rahsia di sebalik tekstur rangup lapisan gula Melaka, Bagaimana proses pembuatannya, serta faktor yang mempengaruhi kejayaan menghasilkan Kuih Keria yang sempurna.

Selain kuih keria yang manis dan rangup, Melaka turut terkenal dengan pelbagai makanan tradisional yang menjadi tarikan pelancong. Ketahui senarai lengkap makanan tradisional popular di Melaka yang masih digemari sehingga hari ini.

Apa Itu Kuih Keria Gula Melaka?

Kuih Keria ialah kuih tradisional yang diperbuat daripada ubi keledek yang direbus, dilenyek dan dicampur dengan sedikit tepung sebelum dibentuk seperti cincin. Setelah digoreng sehingga keemasan, kuih ini akan disalut dengan gula Melaka yang telah dimasak sehingga mencapai tahap tertentu.

Versi asal Kuih Keria biasanya hanya disalut gula putih biasa. Namun, inovasi penggunaan gula Melaka telah menaikkan taraf kuih tradisional ini sehingga menjadi menu wajib di pelbagai kedai dan gerai terkenal.

Rahsia Lapisan Gula Yang Rangup

Lapisan gula yang rangup pada Kuih Keria Gula Melaka terhasil melalui proses penghabluran gula. Apabila dimasak hingga menjadi sirap pekat dan menyaluti kuih.

 Ia akan membentuk kristal-kristal halus semasa proses penyejukan dan penggaulan. Kristal inilah yang menghasilkan tekstur rangup serta menjadikan Kuih Keria lebih enak dinikmati. 

Peranan Gula Melaka Dalam Tekstur Rangup

Gula Melaka mempunyai kandungan gula semula jadi yang unik berbanding gula putih biasa. Ia dihasilkan daripada nira pokok kelapa atau pokok nipah yang dimasak sehingga pekat.

Kelebihan gula Melaka termasuk:

  • Memberikan aroma karamel semula jadi.
  • Menghasilkan rasa yang lebih kaya dan mendalam.
  • Membentuk salutan yang lebih wangi dan berkilat.
  • Menjadikan lapisan luar lebih bertekstur apabila menghablur.

Apabila dimasak dengan teknik yang betul, gula Melaka akan melekat pada kuih tanpa menjadi terlalu keras atau melekit.

Faktor Yang Menjadikan Salutan Gula Rangup

Terdapat beberapa faktor penting yang menentukan sama ada lapisan gula akan menjadi rangup atau tidak.

1. Nisbah Air Yang Betul

Terlalu banyak air akan menyebabkan sirap menjadi cair dan sukar menghablur. Sebaliknya, terlalu sedikit air boleh menyebabkan gula hangus sebelum sempat menyaluti kuih.

Nisbah air yang seimbang membolehkan gula Melaka mencair dengan sempurna dan menghasilkan kristal halus yang rangup.

2. Suhu Memasak

Suhu sirap perlu dikawal dengan baik untuk mendapatkan salutan gula yang rangup. Jika suhu terlalu rendah, gula sukar menghablur dengan sempurna. 

Sebaliknya, jika terlalu tinggi, gula boleh menjadi terlalu keras atau hangus. Oleh itu, pemantauan suhu yang tepat amat penting untuk menghasilkan lapisan gula Melaka yang cantik dan sekata.

3. Teknik Mengacau

Ramai yang menganggap proses mengacau hanyalah untuk memastikan gula bersalut rata. Hakikatnya, ia membantu proses pembentukan kristal gula.

Apabila kuih digaul secara konsisten di dalam sirap, gula mula menyejuk dan membentuk lapisan rangup secara sekata di seluruh permukaan kuih.

4. Keadaan Kuih Yang Digoreng

Kuih keria yang terlalu berminyak boleh menyebabkan gula gagal melekat dengan sempurna. Oleh itu, kuih perlu ditoskan terlebih dahulu sebelum disalut gula.

Permukaan yang kering membolehkan gula mengikat dengan lebih baik dan menghasilkan salutan yang cantik.

Mengapa Ada Kuih Keria Yang Melekit?

Salah satu masalah yang sering berlaku ialah lapisan gula menjadi melekit selepas beberapa jam.

Antara punca utama termasuk:

  • Sirap tidak mencapai tahap kepekatan yang sesuai.
  • Kandungan air masih terlalu tinggi.
  • Kuih disimpan dalam bekas tertutup ketika masih panas.
  • Persekitaran yang lembap menyebabkan gula menyerap kelembapan udara.

Untuk mengelakkan masalah ini, biarkan kuih sejuk sepenuhnya sebelum disimpan.

Kenapa Lapisan Gula Berwarna Putih Selepas Disejukkan?

Jangan risau jika terdapat lapisan putih pada permukaan Kuih Keria Gula Melaka. Lapisan tersebut bukan tanda gula rosak.  Sebaliknya merupakan kristal gula yang terbentuk melalui proses penghabluran. 

Malah, ia menunjukkan salutan gula telah menjadi dengan baik. Semakin halus kristal yang terbentuk, semakin rangup dan sedap tekstur kuih apabila dinikmati. 

Jadi, macam mana nak hasilkan Gula Keria Melaka Yang Rangup?

Cara Penyediaan Sirap

1. Cairkan gula Melaka

Masukkan gula Melaka dan air ke dalam kuali.

Masak menggunakan api sederhana sehingga gula Melaka larut sepenuhnya. Kacau perlahan supaya tidak hangus.

2. Pekatkan sirap

Teruskan memasak tanpa menambah air.

Biarkan campuran mendidih sehingga menjadi lebih pekat dan berbuih halus. Warna akan bertukar lebih gelap dan teksturnya kelihatan berkilat.

3. Uji kepekatan sirap

Terdapat beberapa cara mudah:

Ujian sudu

  • Celup sudu ke dalam sirap.
  • Angkat dan lihat aliran sirap.
  • Jika sirap jatuh perlahan dan membentuk benang halus, ia sudah hampir sesuai.

Ujian titisan air

  • Titiskan sedikit sirap ke dalam mangkuk berisi air.
  • Jika ia membentuk bebola lembut dan tidak terus larut, kepekatannya mencukupi.

4. Masukkan kuih keria

Masukkan kuih keria yang telah digoreng dan ditoskan minyaknya.

Gaul secara berterusan menggunakan api kecil.

5. Biarkan gula menghablur

Terus mengacau sehingga:

  • Sirap mula menebal.
  • Kilauan sirap berkurangan.
  • Lapisan gula mula kelihatan kering pada permukaan kuih.

Inilah detik penting yang menghasilkan lapisan gula rangup.

Tanda Sirap Terlalu Cair

  • Gula tidak melekat pada kuih.
  • Salutan menjadi melekit walaupun telah sejuk.
  • Kuih kelihatan basah dan berkilat terlalu lama.

Tanda Sirap Terlalu Pekat

  • Gula mengeras terlalu cepat dalam kuali.
  • Salutan menjadi tebal dan keras.
  • Sukar menggaul kuih secara sekata.

Cara Mengekalkan Kerangupan Kuih Keria Gula Melaka

Jika anda ingin menikmati Kuih Keria yang kekal rangup lebih lama, beberapa langkah berikut boleh diamalkan:

  1. Simpan dalam bekas kedap udara.
  2. Pastikan kuih benar-benar sejuk sebelum disimpan.
  3. Elakkan menyimpan di tempat yang lembap.
  4. Jangan campurkan kuih panas dengan kuih yang telah sejuk.
  5. Gunakan gula Melaka berkualiti tinggi untuk hasil yang lebih stabil.

Dengan penyimpanan yang betul, lapisan gula boleh kekal rangup untuk tempoh yang lebih lama.

Kesimpulan

Rahsia kerangupan Kuih Keria Gula Melaka sebenarnya terletak pada cara gula Melaka dimasak dan disalut pada kuih. Bila suhu, air dan teknik mengacau berada pada tahap yang betul, gula akan membentuk lapisan kristal yang rangup dan sedap digigit.

Inilah yang membuatkan Kuih Keria Gula Melaka begitu istimewa, dengan gabungan ubi keledek yang lembut di dalam dan salutan gula yang manis serta rangup di luar. 

Similar Posts